Selamatkan Kami Dari Tipu Daya Dunia


Tuhan, Engkau takdirkan hamba-hamba-Mu tinggal sementara waktu di dunia ini

Pada diri mereka Engkau jadikan nafsu

Nafsu itu pula dia sentiasa berkehendak

Kehendaknya tidak pula terbatas

Bahkan kemahuannya tidak puas-puas

Sedangkan Engkau jadikan dunia ini pula serba indah dan cantik

Mempesona dan menarik

Mempengaruh dan merangsang

Menipu daya dan melalaikan

Serba sedap dan lazat

Apabila nafsu berkehendak dengan dunia yang telah disifatkan tadi

Nafsu sentiasa sahaja digodanya

Akibatnya digoda dan dinodanya

Oleh itu wahai Tuhan!

Siapalah yang dapat lari dari perangkapnya

Siapalah yang dapat selamat dari jebaknya

Kalau rasul dan nabi Engkau pelihara mereka

Mereka boleh selamat daripada tipu daya dunia

Macam kami yang bukan rasul dan nabi ini, apalah yang menjamin boleh selamat

Sedangkan tipu daya dunia amat dahsyat

Kasihanilah kami ini Tuhan!

Pelihara dan selamatkanlah kami daripada tipu daya dunia

Yang sudah jutaan manusia ramainya yang telah dipedayanya

Jangan pula kami juga dipedayanya

Musnahlah kehidupan kami di dua negara

Selamatkanlah kami Tuhan dengan Rahmat-Mu

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi